selamat datang

Selamat Datang Ke Blog Kami Semoga Bermanfaat Penulisan Yang Kami Kongsikan Di Blog Ini.

Wednesday 19 October 2016

KEPENTINGAN ILMU KEPADA SEORANG PELAJAR

                                                                                                                                                                                   Sebagai sebuah Negara yang membangun dengan pesat dan sedang menuju ke era Negara maju, maka rakyat Malaysia haruslah bersama- sama memikul tanggungjawab untuk memajukan Negara dalam pelbagai bidang. Dalam konteks ini, kita haruslah memajukan dalam bidang ilmu pengetahuan menjurus kepada pelajar. Ilmu merupakan jambatan kehidupan untuk mencorakkan kehidupan yang lebih cerah agar mempunyai masa depan yang gemilang. Pada masa kini, ilmu pengetahuan itu penting kepada seseorang indivdu yang bergelar pelajar kerana mampu melahirkan pelajar pintar serta bijak dalam pembelajaran di samping dapat meningkatkan prestasi dalam pelajaran. Berbalik kepada hasrat Bekas Perdana  Menteri  Tun Dr. Mahathir Mohammad untuk mencapai status Negara maju menjelang tahun 2020 nanti. Oleh itu, ilmu pengetahuan akan melahirkan masyarakat Negara yang berintelektual serta berdaya saing dalam pelbagai aspek . persoalannya di sini, apakah kepentingan ilmu pengetahuan kepada seorang individu yang bergelar pelajar ini? Persoalan ini akan saya rungkaikan di perenggan – perenggan seterusnya untuk menjelaskan dengan mendalam soal ini.
Ilmu pengetahuan dapat melahirkan individu atau seorang pelajar yang bermoral . apbila disebutkan dengan moral ini pasti semua orang mempunya pandangan yang positif. Justeru itu, apabila seseorang pelajar itu mempunyai ilmu sudah pasti ia mempunyai  nilai – nilai moral dalam dirinya. Pelajar  yang bermoral pasti akan memperoleh kecemerlangan di dalam setiap aspek. Berbalik dari segi agama Islam yang menyuruh bahawa kita kita mengamalkan sifat mahmudah di dalam diri kita. Hal berkait rapat dengan moral seseorang terutamanya seorang pelajar kerana apabila dia menuntut ilmu pastinya menunjukkan sikap yang positif kepada guru agar ilmu yang diperoleh itu mendapat keberkatan. Di sekolah, dengan adanya subjek mata pelajaran seperti pendidikan islam, sivik serta pendidikan moral ini dapat memupuk nilai – nilai murni yang baik di dalam diri pelajar tersebut disamping dapat meningkat ilmu pengetahun, teringat pepatah melayu ada  mengatakan sambil menyelam minum air iaitu kita mendapat dua manfaat di dalam satu perkara. Seseorang yang bermoral pasti akan disukai oleh orang disekelilingya kerana tingkah lakunya yang tertib serta sangat menghormati guru- guru. Justeru itu, pelajar tersebut Berjaya di dalam kehidupannya. Jelaslah bahawa ilmu pengetahuan itu dapat melahirkan pelajar yang berakhlak mulia serta bersahsiah. Oleh itu, tuntutlah ilmu untuk meningkatkan moral kita sebagai seorang hamba di muka bumi ini.
          Selain itu, setiap pelajar seharusnya bertungkus – lumus dalam menimba ilmu dan bersungguh- sungguh mempelajari ilmu yang baharu. Kementerian pelajaran Malaysia telahpun menambahbaik system pembelajaran kepada kaedah yang terkini iaitu kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Sistem ini  bertujuan menguji tahap pemikiran pelajar dalam menyelesaikan soalan – soalan yang sukar. Hal ini bertujuan bagi melahirkan pelajar yang berminda kelas pertama dan berfikiran secara meluas ataupun terbuka. Oleh itu, ini juga boleh menjadi aset yang beharga kepada Negara. Berikutnya, ilmu pengetahuan juga boleh ditimba dengan membaca bahan bacaan seperti buku – buku ilmiah, surat khabar dan bahan bacaan yang mendatangkan manfaat yang lain. Seterusnya, sekiranya seseorang itu mempunyai  ilmu yang penuh di dada, pelajar tersebut boleh membantu orang lain dalam menyelesaikan masalah sekali gus  dapat berbakti kepada orang ramai maka ,kita perlulah bersungguh – sungguh mengejar ilmu seperti kata hikmat mencari ilmu biarlah sampai ke Negara China. Oleh itu, terbuktilah bahawa betapa pentingnya ilmu pengetahuan kerana ilmu merupakan pelita hidup juga                                                    penerang kehidupan.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                          Dalam mendepani arus kemodenan dunia yang kian pesat,pelbagai bidang ilmu haruslah dikuasai kerana persaingan yang hebat pada era ini. Ilmu pengetahuan dalam dalam bidang – bidang ilmu seperti bidang bahasa asing,bidang kesenian ,bidang kesusasteraan serta bidang sains. Jika kita mempunyai ilmu pengetahuan yang mantap dalam bidang – bidang yang dinyatakan ini sudah pasti kehidupan kita akan cerah seperti disinari matahari di siang hari. Hal ini terjadi kerana pelajar – pelajar pada zaman moden ini sangat pintar dalam berfikir , mereka ini sudah dididik dengan ilmu pengetahuan yang tinggi oleh guru – guru. Oleh itu, ramai individu yang berintelektual tinggi telah terdidik di Malaysia. Apabila seseorang pelajar itu menguasai bidang ilmu lain yang bukan kebiasaan setiap pelajar seperti mempelajari bahasa asing seperti bahasa jepun, mandarin,dan bahasa inggeris yang mantap ini merupakan salah satu pernambahan aset yang sangat memberi manfaat kepada individu tersebut kerana bidang bahasa asing ini bukanlah semua pelajar berminat untuk mempelajarinya. Justeru itu,seseorang individu tersebut akan memperoleh manfaat yang besar dalam kehidupannya serta memudahkannya mendapat tempat di IPT sejurus membuka memperoleh  peluang pekerjaan yang cerah. Jelaslah bahawa ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang dapat menjana kehidupan yang berjaya.
Ilmu pengetahuan tonggak kehidupan, kepentingan ilmu pengetahuan juga ialah  dapat menjamin masa hadapan seseorang pelajar untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik dan meningkatkan taraf hidup mereka. Pada perenggan sebelum ini saya sudah jelaskan tentang pelbagai bidang ilmu yang membolehkan pelajar tersebut memperoleh tempat di peringkat IPT serta pekerjaan yang baik. Kehidupan seseorang pelajar yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi juga akan membina keselesaan hidup yang lebih sempurna. Ilmu pengetahuan juga menjadikan seseorang pelajar itu menjadi insan yang berguna kepada masyarakat, bangsa dan Negara pada masa hadapan sekali gus melahirkan masyarakat yang berintelektual yang tinggi. Selain itu, seseorang pelajar itu akan akan dijadikan rujukan oleh masyarakat jika mempunya ilmu pengetahuan yang pelbagai aspek. Ilmu pelita kehidupan yang menjadikan seseorang pelajar menghadapi cabaran hidup yang lebih mencabar pada masa yang akan datang disebabkan kecanggihan teknologi yang kian menonjol akibat penyelidikkan dan penerokaan ilmu pengetahuan dalam bidang teknologi elektronik. Bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan kerana dunia masa kini memerlukan ilmu pengetahuan yang tinggi bagi memudahkan memenuhi pasaran kerja. Oleh itu, kita harus menuntut ilmu sedalam- dalamnya. Jelaslah bahawa jika kita mempunyai ilmu pengetahuan pastinya kita memperoleh masa hadapan yang cerah seperti matahari.
                    Izharnya, ilmu pemacu kejayaan hidup seseorang individu yang bergelar pelajar. Manusia yang berjaya adalah manusia  yang berpendidikan tinggi  dan mempunya ilmu pengetahuan yang meluas  dalam setiap aspek di negar ini. Bagi mencapai hasrat bekas perdana Menteri  Tun Dr. Mahathir  yang berhasrat untuk mencapai status Negara maju menjelang tahun 2020 nanti masyarakat yang berintelektual yang tinggi merupakan pemacu kea rah kemajuan Negara selaras menjana ekonomi yang kukuh di Negara ini. Oleh itu, ilmu pengetahuan sangat penting bagi setiap individu untuk meningkatkan taraf hidup mereka bagi menempa rintangan dalam kehidupan yang penuh dengan persaingan pada masa kini. Ilmu pengetahuan telah dihuraikan di perenggan- perenggan bukan saja memberi keuntungan kepada diri sendiri malah bangsa dan Negara yang harmoni ini. Cabaran dunia pada hari inilah yang menyebabkan kita perlu menuntut ilmu sehingga sampai ke menara gading. Pelajar yang Berjaya ialah pelajar yang taat pada perintah Allah swt. Di samping kita menimba ilmu janganlah sesekali kita melupakan tanggungjawab kita sebagai seorang hambaNya. Akhir kata dari saya sebelum meletakkan pen saya , marilah kita sama- sama menuntut ilmu pengetahuan yang tinggi  dalam setiap bidang .   

Kepentingan Ilmu Pengetahuan

Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China merupakan ungkapan yang amat sinonim dengan kepentingan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan merupakan sesuatu maklumat yang diperoleh melalui pelbagai sumber. Antara sumber untuk memperoleh pelbagai jenis ilmu pengetahuan adalah daripada media cetak dan media elektronik. Ilmu pengetahuan mempunyai pelbagai kepentingan kepada semua anggota masyarakat.
Antara kepentingan memiliki ilmu pengetahuan ialah seseorang boleh meluaskan kosa kata. Hal ini demikian kerana kosa kata seseorang boleh bertambah jika mereka banyak membaca. Bahan bacaan yang boleh membantu untuk meluaskan kosa kata ialah seperti majalah, akhbar,novel,dan cerpen. Jelaslah bahawa penguasaan kosa kata yang luas merupakan kepentingan ilmu yang harus dimanfaatkan oleh seseorang.
Selain itu, kepentingan ilmu pengetahuan juga boleh menjamin masa hadapan yang cemerlang. Jika seseorang berusaha bersungguh-sungguh, mereka akan memperoleh ilmu yang dipelajari kerana usaha tangga kejayaan . Sebagai contoh, mereka boleh menimba ilmu pengetahuan daripada guru yang mengajar mata pelajaran sejarah di sekolah. Menerusi mata pelajaran ini mereka dapat mengetahui sejarah kejayaan seseorang tokoh. Secara tidak langsung mereka akan menjadikan tokoh tersebut sebagai idola dalam usaha mencapai cita-cita.
Kepentingan ilmu pengetahuan lain yang boleh dimanfaatkan ialah seseorang dapat mengetahui ilmu dalam pelbagai bidang yang dipelajari. Hal ini demikian kerana mereka boleh mendapat ilmu dalam pelbagai bidang melalui mata pelajaran yang dipelajari di sekolah seperti sains, matematik, perdagangan, ekonomi dan sastera. Ilmu yang diperoleh boleh diamalkan dalam kehidupan seharian mereka. Sudah terang lagi bersuluh seseorang akan berjaya jika mereka boleh menguasai ilmu pelbagai bidang yang dipelajari.

Seterusnya, seseorang juga mampu menyelesaikan masalah jika mereka memiliki ilmu pengetahuan yang berguna. Dalam menjalani kehidupan seharian kita akan mengalami pelbagai masalah. Cara yang paling baik untuk mengatasi masalah dengan berkesan,mereka harus memiliki ilmu pengetahuan kerana ilmu pelita hidup. Contohnya, jika seseorang pelajar mempunyai ilmu agama yang tinggi, mereka akan dapat menyelesaikan masalah tanpa tindakan yang terburu-buru. Oleh itu kemahiran menyelesaikan masalah dengan berkesan boleh dikuasai jika kita mempunyai ilmu pengetahuan.

Dengan memiliki ilmu pengetahuan, kita juga boleh menjadi insan yang memiliki sahsiah terpuji. Hal ini demikian kerana kita akan mendapat panduan yang baik melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki. Sebagai contoh, seseorang yang berilmu akan dapat memanfaatkan nilai-nilai murni yang dipelajari dalam kehidupan seharian. Antara nilai murni yang boleh diamalkan ialah saling menghormati, bertanggungjawab, bertimbang rasa dan menghargai. Sesungguhnya, kita akan menjadi insan yang berakhlak mulia jika kita berilmu pengetahuan.
Kesimpulannya, setiap anggota masyarakat perlu menuntut ilmu pengetahuan bagi memastikan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat dilahirkan. Hasrat ini perlu direalisasikan agar rakyat dapat menyumbang ke arah kemajuan negara menjelang tahun 2020.

LANGKAH – LANGKAH MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN OLEH PELBAGAI PIHAK

      Dalam mendapani arus globalisasi dan kemajuan, Negara kita kian laju memacu mengejar kemajuan demi kemajuan. Kini, kita boleh berbangga dengan kejayaan yang dikecapi serta boleh dianggap setanding dengan Negara lain bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Namun demikian,masyarakat kini juga semakin  sibuk dengan hal masing – masing sehingga melupakan norma kehidupan dan nilai murni yang perlu ditelusuri dalam hidup bermasyarakat. Dengan kata lain, masyarakat kini menjadi materialistik dan individualistic iaitu mementingkan diri sendiri dan tiada lagi semangat kejiranan. Semangat kejiranan kian terpinggir dalam kalangan masyarakat kota terutamanya  dan mereka hidup ibarat enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing – masing malahan ada yang menjadi seperti kera sumbang. Budaya bergotong – royong, ziarah – menziarahi mahupun bertegur sapa sesama jiran juga semakin pudar dalam masyarakat kota. Tidak mustahil juga sekiranya mereka tidak mengenali jiran di sebelah rumah apatah lagi masyarakat setempat. Slogan ‘Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh ‘ dan pepatah bagai aur dengan tebing pula hanya terserlah dalam masyarakat luar Bandar atau kampung  yang kini kian kecil dan menjadi kumpulan minoriti yang masih mengamalkan semangat kejiranan . Hal ini menyebabkan institusi kemasyarakatan tidak lagi utuh dan perlu diberikan perhatian serius. Persoalannya, pihak manakah yang harus dipertanggungjawabkan untuk segala fenomena ini? Apakah pula langkah- langkah yang wajar diambil bagi menyerlahkan kembali semangat kejiranan yang semakin sirna dalam masyarakat hari ini? Segala persoalan ini akan saya rungkaikan dalam perenggan – perenggan seterusnya.
             Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan dalam masyarakat, maka pihak pertama yang boleh memainkan peranan adalah pihak media massa. Media massa merupakan wahana yang dominan dalam mempengaruhi minda seseorang dengan cepat dan berkesan. Media massa juga memainkan peranan yang sangat penting  dalam mengorak langkah memupuk kembali semangat kejiranan yang kian pudar dalam kalangan masyarakat. Pihak media massa seperti media cetak , media elektronik dan laman social dapat menyebarkan maklumat mengenai semangat kejiranan. Hal ini demikian kerana maklumat dapat disampaikan dengan lebih cepat. Kesannya, masyarakat akan lebih faham dan mendapat pelbagai maklumat yang mendalam mengenai semangat kejiranan. Contohnya, media hiburan seperti televisyen dapat menyampaikan mesej – mesej penting berkaitan semangat kejiranan. Malah stesen televisyen dan radio perlu menyiarkan program yang boleh memupuk semangat kejiranan seperti ceramah agama dan ceramah motivasi yang berkaitan dengan kejiranan. Akhbar dan majalah juga perlu memuatkan gambar dan rencana tentang aktiviti yang dapat memupuk semangat kejiranan.  Media elektronik pula, boleh menyiarkan dakumentari dan rancangan menarik tentang kejiranan. Melalui media massa, pelbagai maklumat dan berita boleh disampaikan dengan lebih efektif dan meluas. Sesungguhnya, berita dan isu semasa yang disiarkan oleh media massa lebih mudah menarik perhatian orang ramai terutamanya generasi muda. Sebagai contoh, usaha majalah 3 menyiarkan ‘ Colour of Malaysia’ wajar di sokong. Justeru, aforisme hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah ini wajar kita tonjolkan dalam hidup bermasyarakat melalui sokongan dan peranan pihak media massa untuk merealisasikan masyarakat harmonis yang termaktuk dalam wawasan 2020.
              Seterusnya, NGO ataupun badan bukan kerajaan seperti Rela, Rukun Tetangga, Persatuan Belia dan Persatuan Penduduk dan juga memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan  semangat kejiranan dalam kehidupan seharian. NGO berperanan sebagai tunjang utama untuk mengadakan aktiviti kemasyarakatan seperti aktiviti gotong – royong perdana, rumah terbuka dan sukan rakyat. Dengan adanya aktiviti berunsurkan kemasyarakatan ini sudah tentu akan mewujudkan maslahat serampang dua mata secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan silaturrahim, berkenal – kenalan dan badan juga akan sihat dan cergas. Dengan adanya rumah terbuka yang dianjurkan oleh NGO, masyarakat yang berbilang kaum dapat berkenal – kenalan kerana mereka berkumpul di dalam suatu majlis seperti Perayaan Tahun Baru Cina, Perayaan Deepavali, dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Malahan mereka juga dapat mengetahui  adat resam pelbagai etnik atau kaum dan ini akan mewujudkan perpaduan kaum yang diinginkan oleh kerajaan untuk mencapai konsep 1 Malaysia. Dewasa ini, dengan adanya pertubuhan NGO ini, mereka secara bergilir -  gilir mengawasi keselamatan tempat tinggal atau taman untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini serta memudaratkan penduduk tempatan seperti membunuh, merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat persis kata peribahasa iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan sikap bentuk dalam hidup bermasyarakat. Tegasnya, NGO haruslah aktif tanpa mengira masa dan waktu dan tidak mengamalkan sikap melepaskan batok di tangga. Oleh itu, NGO haruslah memainkan peranan dengan lebih proaktif dan dinamik bagi memupuk semangat kejiranan yang jitu.
               Ibu bapa juga memainkan peranan dalam meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Ibu bapa perlu menunjukkan contoh teladan terhadap anak – anak atau dengan kata lain sebagai suri teladan, terhadap anak – anak seperti figurative melayu ada mengatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Amalan bertegur sapa, hormat – menghormati sesame jiran harus dimurnikan oleh ibu bapa supaya anak – anak dapat mencontohi sikap ibu bapa yang baik dan positif. Pepatah melayu juga mengatakan anak merupakan kain putih yang harus dicorakkan oleh ibu bapa dengan amalan serta tingkah laku yang baik. Semangat kejiranan ini harus diberikan priority oleh ibu bapa bagi menyemai sikap berjiran dalam diri anak – anak mereka agar semangat kejiranan yang harmoni dan sejahtera dapat diwujudkan. Hal ini akan, menyebabkan nilai kerjasama serta persefahaman antara jiran tetangga akan  lebih akrab. Rentetan perselisihan antara jiran juga dapat dielakkan jika setiap anggota masyarakat mengamalkan nilai- nilai sakinah dalam diri mereka. Persis peribahasa bagaimana acuan, begitulah kuihnya sudah pasti akan terzahir daripada tingkah laku anak – anak yang saban hari melihat perlakuan dan tingkah laku anak – anak yang saban hari melihat perlakuan dan tingkah laku ibu bapa mereka yang baik terhadap jiran. Penitisan didikan akhlak secara berterusan ini sebati dalam jiwa serta sudah pasti akan dibawa oleh anak – anak sehingga merka dewasa.
             Minhaj efektif yang seterusnya ialah nilai – nilai murni perlu diterapkan dalam kalangan pelajar tanpa mengira bangsa atau budaya. Hal ini begitu kerana lazimnya anak – anak yang sedang membesar mudah menerima perkara – perkara positif atau negative. Meskipun di sekolah mempunyai para pelajar yang berlainan latar belakang, etnik dan agama terutamanya di Negara kita, namun yang pastinya semua pelajar mengikuti satu system pendidikan yang sama. Menerusi cara ini, jalinan kerjasama dan semangat keiranan boleh dicapai serta dipertingkatkan. Jelasnya , akar semangat kejiranan mampu dibina berasaskan keimanan yang benar kepada Tuhan dan pegangan yang teguh kepada ajaran agama. Pandangan hidup seperti ini akan menjalinkan perasaan hormat – menghormati antara satu dengan yang lain dan dengan cita – cita memupuk semangat kejiranan akan lebih mudah dicapai. Lazimnya, sifat hormat – menghormati ini dapat menyingkirkan perasaan angkuh dan kebobrokan dalam diri pelajar untuk memudahkan komunikasi di sekolah ataupun di rumah. Penerapan nilai – nilai murni yang bukan sahaja dapat membentuk akhlak dan peribadi mulia dalam kalangan pelajar ini malah mampu membentuk jati diri bangsa yang dapat dicapai melalui penyerapan ilmu dalam mata pelajaran seperti Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, Pendidikan Islam atau moral dan sebagainya. Tegasnya, sekolah adalah wadah utama dalam menzahirkan hasrat Negara iaitu memiliki warga berilmu dan berakhlak mulia. Izharnya bahawa sekolah merupakan elemen penting dalam menerapkan nilai – nilai murni serta memupukkan semangat kejiranan dalam diri para pelajar di sekolah.
                  Akhir  sekali, kita sebagai seorang individu yang bertanggungjawab dalam hidup berjiran perlulah mengambil berat terhadap orang yang bergelar jiran yang tinggal disekeliling kita. Misalnya, kita perlulah bijak untuk memilih waktu yang sesuai untuk menziarahi jiran agar tidak mengganggu waktu rehat mereka. Amalan menziarahi jiran juga boleh kita lakukan ketika menjelang musim perayaan tertentu atau pada hujung minggu. Seterusnya, sikap bertegur sapa perlulah kita lakukan apabila terserempak dengan jiran. Hal ini kerana secara tidak langsung dapat mengelakkan berlakunya perselisihan faham antara satu sama lain walaupun berbeza kaum, agama mahupun budaya. Begitu juga usaha untuk memahami dan mengetahui adat resam dan cara hidup jiran yang berlainan bangsa seperti cara mereka berpakaian, agama dan kepercayaan , adat resam dan makanan tradisional perlu dilakukan oleh setiap individu yang hidup berjiran. Contoh, pada musim perayaan Tahun Baru Cina , kita dapat merasai makanan seperti kuih bakul, limau mandarin dan kuih bulan. Pada Hari Raya Aidilfitri pula, kita sering disajikan dengan juadah seperti ketupat , rending dan dodol manakala pada Perayaan Deepavali , kita dihidangkan dengan makanan seperti tose, muruku, capati dan manisan lain seperti ladu. Impaknya tanpa kita sedari hal ini membolehkan kita mengenali jira tetangga kita dengan lebih mendalam serta memudahkan kita untuk meminta pertolongan sekiranya kita berada dalam situasi kecemasan. Oleh itu, jelaslah bahawa ,`bulan air kerana pembentung , bulat kata kerana muafakat’ menunjukkan sekiranya kita mempunyai hubungan baik dengan jiran nescaya kita dapat merasai kehidupan berjiran dengan aman dan sentosa.
              Secara totalnya, semangat kejiranan dapat dipupuk melalui aktiviti – aktiviti yang dianjurkan oleh pihak – pihak tertentu persis kata hikmah , ada mengatakan bahawa jiran sepakat membawa berkat. Hal ini merujuk kepada jiran yang saling membantu antara satu sama lain, sering bertanyakan khabar dan bertanggungjawab menjaga rumah ketika ketiadaan jiran dirumahnya. Secara tidak langsung, hal ini dapat mendidik jiran agar lebih berasa bertanggungjawab kerana mereka juga akan meminta bantuan ketika mereka ditimpa kesusahan. Hidup ini ibarat roda yang berputar, kadang – kala kita di atas kadang kala kita di bawah. Oleh itu, jiran perlulah sedar akan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka kerana dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain. Badan bukan kerajaan, media massa perlulah menggembleng tenaga dan saling bekerjasama untuk mewujudkan kualiti semangat kejiranan. Tuntasnya, jiran – jiran haruslah menerapkan nilai – nilai murni dalam diri masing – masing untuk menjadikan jiran yang berwibawa dan seterusnya mewujudkan masyarakat yang hidup aman harmonis serta sejahtera.

Kebaikkan Makanan Seimbang


Sejak kita mentah lagi dan darah hanya setampuk pinang, kita telahpun dididik dan diingatkan berulang-ulang kali oleh ibu bapa dan guru tentang kebaikan  pemakanan seimbang. Satu senario yang tidak asing kepada seseorang kanak-kanak adalah apabila ditegur oleh ibu bapa kerana enggan makan sayur-sayuran dan hanya ingin menjamah makanan ringan. Terdapat sesetengah pihak yang berpendapat bahawa pemakanan seimbang tidak begitu vital kepada kesihatan seseorang individu. Menurut persepsi mereka, kehidupan manusia di muka bumi hanyalah sementara dan harus dinikmati sepenuhnya. Oleh itu, mereka memandang enteng terhadap kepentingan pemakanan seimbang. Pandangan ini dapat disangkal dengan mudah kerana impak pemakanan seimbang terhadap kesihatan dan kebahagiaan seseorang amat ketara dalam kehidupan seharian kita sebagai manusia. Namun demikian, mengapakah masalah obesiti kian bertambah kritikal jikalau kebanyakan komuniti sedar tentang kepentingan pemakanan seimbang? Kajian terkini mendapati bahawa 33% daripada semua penghuni dunia ini menghadapi masalah obesiti. Statistik ini amat meruncing kerana hal ini bermaksud terdapat kira-kira 2 bilion orang di seluruh pelosok dunia yang tergolong dalam kategori obes! Apakah kebaikan  pemakanan seimbang yang harus dikupas dan dibugar secara terperinci hingga ke akar umbi, bagi menyedarkan dan menginsafkan masyarakat agar lebih peka terhadap diet mereka dan tidak bersikap bena tak bena terhadap kesihatan dan kebajikan peribadi mereka? Marilah kita mengkaji persoalan  yang masih menjadi polemik dalam kalangan  masyarakat..
                
Sebagai pembuka tirai pembincangan ini, salah satu kepentingan atau faedah pemakanan seimbang yang jelas dan nyata adalah untuk menjadikan tumbesaran manusia lebih sempurna dari aspek fizikal dan fisiologi. Tubuh badan akan menerima semua zat yang diperlukan untuk menjalani aktiviti seharian tanpa menjadi lesu. Oleh itu, seseorang yang menjaga dan mengawal pemakanannya akan memiliki keadaan fizikal yang jauh lebih baik berbanding seseorang yang kurang prihatin terhadap diet dan cara pemakanannya. Zat dan mineral seperti kalsium, magnesium dan fosforus penting dalam proses pembentukan gigi dan tulang yang kuat. Kanak-kanak khususnya yang harus mengambil zat-zat ini dalam kuantiti yang optimum supaya dapat membesar sebaik-baiknya. Di samping itu, mineral seperti zat besi penting untuk memastikan sistem peredaran darah seseorang itu efisien dan berfungsi secara lancar. Kanak-kanak dan remaja memerlukan tenaga dan bahan mineral secukupnya untuk membesar, bukan sahaja dari aspek lahiriah seperti ketinggian dan berat badan, malah juga dari segi kelancaran fungsi organ dalaman dan kecekapan sistem-sistem badan. Sekiranya pemakanan mereka tidak seimbang, mereka akan mengalami pertumbuhan yang terbantut serta tidak sempurna. Hal ini akan memudaratkan kesihatan mereka secara keseluruhannya dan akan mengakibatkan mereka kurang berkemampuan untuk menghadapi cabaran dan dugaan hidup. Satu tamsilan yang amat menyayat hati ialah kanak-kanak yang berada di negara-negara Dunia Ketiga seperti Ethiopia dan Afrika Selatan yang tidak mempunyai akses kepada makanan berkhasiat. Oleh sebab tidak berpeluang mengamalkan pemakanan yang seimbang, kanak-kanak ini tidak dapat membesar dengan sempurna dan kebanyakannya mereka mempunyai jangka hayat yang amat pendek, seperti 7 hingga 12 tahun sahaja. Ironinya, ramai individu di negara yang maju berupaya mengamalkan diet yang sihat dan berkhasiat, namun mereka enggan bertindak sedemikian.
                
Bertitik tolak daripada huraian sebelum ini, manfaat lain yang diperoleh daripada pemakanan seimbang ialah menjamin perkembangan mental seseorang yang lebih cekap dan berkesan. Kekurangan zat makanan yang tertentu boleh menjadikan mental seseorang itu tidak cukup cerdas atau mudah letih apabila cuba menyelesaikan sesuatu perkara yang dialami semasa meneroka liku-liku kehidupan. Situasi ini menjadikan seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalahnya dengan lebih efektif dan rasional berbanding dengan individu yang seimbang aspek pemakanannya. Dr Andrew McCulloch dari Mental Health Foundation telah menjalankan penyelidikan yang mendapati bahawa pelbagai penyakit mental seperti depresi ( kemurungan ), schizofrenia, penyakit Alzheimer dan ADHD ( Attention Deficit Hyperactivity Disorder ) dapat dihindari sekiranya mengambil makanan dan minuman yang seimbang dan berkhasiat. Menurut beliau, otak manusia sebagai pusat kawalan seluruh sistem badan juga dipengaruh oleh nutrien-nutrien yang terdapat dalam diet kita. Kajian saintifik terkini juga mengeluarkan laporan bahawa mineral seperti kalsium dan sodium terlibat dalam proses penghantaran impuls dalam sistem saraf badan kita. Dr McCulloch telah mengutarakan evidens bahawa pemakanan seimbang dapat mengurangkan tekanan emosi serta meningkatkan keupayaan seseorang individu untuk menangani dan mengatasi sesuatu masalah atau pancaroba dengan minda yang tenang dan waras.
                
Sebagai rentetan daripada perbincangan di atas, pemakanan seimbang telah terbukti dapat mengurangkan risiko untuk menghidapi pelbagai penyakit yang berbahaya. Malnutrisi didefinisikan sebagai mempunyai diet yang tidak seimbang, seperti mengambil nutrien-nutrien dalam kadar yang terlalu banyak ataupun terlalu sedikit. Makanan ringan yang digemari ramai mempunyai kandungan kolesterol, garam, gula dan lemak yang terlalu tinggi. Sekiranya kita terlalu kerap makan makanan ringan, kita akan mempunyai risiko tinggi untuk menghidapi penyakit obesiti, diabetes, hipertensi dan juga strok. Sebaliknya sekiranya kita kekurangan kalsium, fosforus dan vitamin D dalam diet harian, kita akan menghidapi penyakit osteoporosis dan osteomalacia, iaitu tulang dan gigi menjadi lemah dan mudah retak. Seperti yang berlaku kepada kanak-kanak di negara-negara daif, kekurangan protein akan menyebabkan penyakit kwashiorkor dan marasmus. Penyakit  kanser juga terbukti dapat dielakkan dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang, terutamanya kanser payu dara, kanser buah pinggang dan kanser hati. Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa jikalau kita mengambil semua nutrien, bahan mineral dan zat yang diperlukan oleh tubuh badan dalam kuantiti yang tepat, kita akan mengurangkan risiko diri untuk dijangkiti berbagai-bagai penyakit yang bukan sahaja menderitakan malah juga berpotensi membawa maut. Janganlah sampai nasi menjadi bubur, barulah kita bertindak dan  mengambil berat  kepentingan pemakanan seimbang kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
                
Kepentingan pemakanan seimbang yang terakhir namun tidak kurang signifikannya berbanding kepentingan yang dihuraikan sebelum ini ialah pemakanan seimbang dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan perubatan seseorang, khususnya golongan yang kurang berkemampuan. Suatu soal selidik yang dijalankan iaitu Consumer Expenditure Survey 2009 telah menganggarkan bahawa setiap individu membelanjakan kira-kira 6.37% daripada pendapatan bulanan mereka untuk membiayai perbelanjaan perubatan. Secara amnya, seseorang itu akan membelanjakan sebanyak US$3,126 (RM9,975) setiap tahun semata-mata untuk menjelaskan kos perubatan. Pada tahun 2009, kerajaan Malaysia telah memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM13.8 bilion untuk menampuang segala keperluan dan kemudahan perubatan rakyat Malaysia. Senario ini tidak harus berlaku, kerana kita sewajarnya berusaha menjaga kesihatan diri dan tidak bergantung kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah-masalah kita. Jikalau kita mengamalkan pemakanan yang seimbang, kita mampu menjimatkan perbelanjaan perubatan sebanyak beribu-ribu ringgit dan wang tersebut dapat disimpan untuk masa kecemasan yang lain. Dari aspek ekonomi negara pula, berbilion-bilion ringgit dapat difokuskan bagi menjana pembangunan dan perkembangan dalam industri lain seperti industri pelancongan dan penyelidikan. Sesetengah pihak akan mengemukakan hujah bahawa pemakanan seimbang tidak begitu penting, kerana sains dan teknologi moden dalam bidang perubatan menjelang era pascaglobalisasi ini mampu mengubati hampir setiap penyakit. Memang benar, bidang perubatan kini semakin canggih hasil daripada daya intelek golongan saintis dan pakar perubatan. Namun demikian, persis madah pujangga Melayu ada berbunyi, mencegah lebih baik daripada mengubati. Dalam konteks ini, peribahasa ini menegaskan bahawa lebih baik kita menghindari diri daripada menghidapi sesuatu penyakit daripada mengubati penyakit tersebut selepas dijangkiti. Hal ini juga dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan kita. Membeli makanan berkhasiat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran jauh lebih murah daripada membeli ubat-ubatan daripada farmasi.
                
Tuntasnya, kebaikan pemakanan seimbang amat jelas dan ketara dalam kehidupan seharian setiap manusia di permukaan bumi ini. Sebelum meletakkan mata pena dan menulis noktah terakhir, seruan saya ialah kita mestilah sedar bahawa tabiat pemakanan kita bukan sahaja mendatangkan kesan terhadap kesihatan fizikal kita, malah akan meninggalkan implikasi terhadap kesihatan kita secara holistik. Kata hikmat ada mengatakan, diri anda ialah Apa yang Anda Makan dan kenyataan ini benar dalam soal kesihatan. Memang tidak payah untuk mengamalkan diet yang sihat dan seimbang. Kita perlulah membina jadual pemakanan yang terancang berdasarkan Piramid Makanan serta mematuhi arahan doktor. Andai kata semua warganegara Malaysia berganding bahu dan bersama-sama mempraktikkan diet dan pemakanan yang seimbang, bukan sahaja individu malah masyarakat dan negara yang akan menerima kesan positif daripada usaha kolaboratif ini. Akhir kata, marilah kita semua mengamalkan pemakanan seimbang supaya negara dan juga dunia kita ini akan lebih sihat dan cergas, sekali gus melahirkan masyarakat yang cemerlang dan berakal tajam.