selamat datang

Selamat Datang Ke Blog Kami Semoga Bermanfaat Penulisan Yang Kami Kongsikan Di Blog Ini.

Sunday 26 November 2023

PUNCA DAN KESAN PENYAKIT BERJANGKIT

 

Dalam arus kemodenan yang semakin memuncak, isu kesihatan tidak harus diketepikan oleh masyarakat. Penjagaan kesihatan kendiri seharusnya menjadi tonggak utama dalam kehidupan seharian perlu diberi perhatian oleh semua pihak. Malangnya, keghairahan manusia mengejar kemajuan sehingga mengabaikan isu – isu penyakit berjangkit di dalam negara ini. Tidak dapat dinafikan bahawa kini masyarakat sejagat telah dihantui penularan penyakit berjangkit, iaitu COVID-19. Sebagai langkah untuk mencegah penularan penyakit tersebut, pihak kerjaaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP). Oleh itu, rakyat digalakkan untuk menerima suntikan vaksin untuk mengurangkan risiko kemautan daripada penyakit tersebut. Hal ini telah membuahkan hasil apabila bilangan kes positif COVID-19 semakin menurun di Malaysia. Sebelum mengambil tindakan untuk membasmikan penyakit berjangkit, punca berlakunya penularan wabak penyakit berjangkit haruslah dikenal pasti. Persoalan yang berlegar-legar dalam gawang minda saya ialah apakah punca dan kesan yang boleh berlaku disebabkan penularan wabak penyakit berjangkit dalam kalangan masyarakat di Malaysia?

Punca perdana berlakunya penularan wabak penyakit berjangkit ialah sikap sesetengah rakyat yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard(SOP). Hal ini dikatakan demikian kerana SOP diperkenalkan sebagai panduan asas untuk mencegah penularan penyakit berjangkit. Misalnya, terdapat sebahagian rakyat tidak suka memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah. Terdapat juga segelintir anggota masyarakat yang tidak mengamalkan penjarakan sosial dan menyebabkan sesuatu tempat dalam keadaan berhimpit-himpit. Sesungguhnya, penyakit berjangkit seperti COVID-19 dan Influenza boleh ditular melalui titisan air dan angin. Sekiranya rakyat tidak mematuhi SOP, sudah tentu akan meningkatkan risiko dijangkiti penyakit tersebt. Tuntasnya, sikap umpama enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing haruslah dielakkan oleh masyarakat untuk mematuhi SOP.

Selanjutnya, keadaan pesakit penyakit berjangkit yang tidak dikuarantin turut menyumbang kepada penularan wabak penyakit berjangkit. Hal ini dikatakan demikian kerana pesakit yang tidak dikuarantin akan menular penyakit berjangkit kepada orang lain ketika berada di luar. Contohnya, terdapat beberapa pesakit yang tidak mematuhi peraturan untuk keluar dari rumah walaupun dijangkiti penyakit berjangkit atau memilik simptom-simptom yang disyaki merupakan penyakit berjangkit. Perbuatan mereka tentulah akan membawa penyakit berjangkit ke tempat yang lain. Hal ini akan menimbulkan lebih banyak kluster wabak penyakit berjangkit di negara kita. Tegasnya, sesiapa yang disyaki menghidapi penyakit berjangkit tetapi tidak dikuarantin akan menyebabkan penularan wabak penyakit berjangkit.

Kebersihan asas kesihatan. Sesungguhnya, penyakit berjangkit seperti malaria, denggi dan zika boleh menular jika sesuatu tempat adalah kotor dan dilimpahi sampah sarap. Hal ini dikatakan demikian kerana keadaan kekotoran dan timbunan sampah sarap boleh menjadi tempat pembiakan haiwan yang berpotensi membawa penyakit berjangkit berjenis vektor. Misalnya, timbunan sampah boleh menakung air dan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Hal ini sudah tentu akan mengakibatkan kes penyakit demam denggi di tempat tersebut. Selagi aktiviti gotong-royong tidak sentiasa dijalankan, penyakit berjangkit akan mudah merebak. Tuntasnya, penularan penyakit berjangkit disebabkan oleh keadaan yang tidak bersih.

Intihanya, penularan wabak penyakit berjangkit banyak memberikan penderitaan kepada rakyat di Malaysia. Bak kata peribahasa,"mencegah lebih baik daripada mengubati". Lantaran itu, semua pihak haruslah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk mencegah dan membasmikan penyakit berjangkit kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. William Shakespeare pernah berkata bahawa, "jangan hentikan usaha yang mulia selagi hasilnya belum dikecapi". Oleh itu, usaha yang padu daripada semua pihak adalah diperlukan supaya usaha sebelum ini tidak umpama mencurah air ke daun keladi. Sehubungan dengan itu, negara kita dapat bebas daripada penularan wabak penyakit berjangkit. Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi.