selamat datang

Selamat Datang Ke Blog Kami Semoga Bermanfaat Penulisan Yang Kami Kongsikan Di Blog Ini.

Tuesday 24 August 2021

LANGKAH - LANGKAH MEMUPUK SEMANGAT PATRIOTIK DALAM KALANGAN GENERASI BARU

 Dalam meniti arus kemodenan ini, isu semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak  mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Justeru itu, wajarlah kita untuk tidak menjadi "duri dalam daging" yang akan menjejaskan keharmonian negara 

Oleh itu, terdapat banyak langkah - langkah yang boleh dilakukan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita,. Antaranya ialah dengan memupuk semangat perpaduan sejak dari bangku sekolah lagi. Justeru itu, perkara ini dapat membentuk semangat patriotik di  dalam diri pelajar, bak kata pepatah melayu " melentur buluh biar dari rebungnya". Antaranya adalah seperti, pihak sekolah boleh mengadakan program seperti Sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat sekolah, kuiz kemerdekaan dan Nyanyian Lagu Negaraku dan sebagainya. Sekiranya semangat patriotik ini dipupuk sejak kecil lagi, sudah tentulah semangat patriotik ini akan kekal dan terus diamalkan  hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini sangatlah penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang cintakan tanah air dan mengelakkan daripada melakukan perkara - perkara yang akan memburukkan imej negara kita. 

Sementara itu, ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam menanamkan semangat patriotik dalam sanubari anak - anak agar mereka tidak terpengaruh dengan anasir luar. Ibu bapa juga perlu menjadi contoh teladan yang  baik kepada anak - anak. Lain daripada itu, ibu bapa juga perlu menanamkan kesedaran kepada anak - anak betapa pentingnya memelihara kadaulatan dan kemerdekaan negara sejak mereka masih kecil lagi. Sebagai contoh, ibu bapa mesti mengibarkan jalur gemilang bersama anak - anak ketika sambutan kemerdekaan. Ibu bapa perlulah membawa anak - anak melawat tempat - tempat tinggalan sejarah agar mereka mengetahui kesan - kesan tinggalan sejarah di negara kita. Oleh itu, anak - anak akan mendapat pendedahan awal dan kesedaran tentang betapa pentingnya semangat cintakan tanah air daripada ibu bapa sejak kecil lagi. 

Di Samping itu, badan kerajaan dan badan bukan kerajaan perlulah bertanggungjawab dalam menjalankan kempen secara besar - besaran melalui media massa dan pada masa kini. Dalam pada itu, kempen - kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Oleh itu, Kementerian Telekomunikasi dan Multimedia, di samping media elektronik seperti radio dan televisyen sangatlah berkesan dalam menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Dengan perkataan lain, pihak penyiaran televisyen dan radio perlulah menyiarkan program atau rancangan yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rancangan tentang pejuang - pejuang kemerdekaan negara. Selain itu, media elektronik juga perlulah menayangkan filem - filem yang berunsurkan patriotik, contohnya, "Bukit Kepong", "Leftenan Adnan" dan drama - drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan tanah air.  Jelaslah bahawa, semangat patriotik juga dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita. 

Seterusnya, agensi - agensi kerajaan juga perlu memainkan peranan dengan menjalankan aktiviti - aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Aktiviti - aktiviti ini boleh dijalankan di kampung - kampung dan juga kawasan perumahan. Dengan itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlu  digalakkan. Jabatan penyiaran atau stesen televisyen perlulah mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh - tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan njuga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan pada suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara kaum malahan dapat memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. 

Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin - pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu , anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin - pemimpin yang memiliki semangat patriotik yang tinggi.Para pemimpin perlulah mengingatkan dan menenkankan kepentingan menghargai kemerdekaan terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana , kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah  dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila - bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar dipertahankan dan tidak akan memberi makna lagi kepada generasi akan datang. 

Kesimpulannya, usaha - usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Indivivdu yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan yang cepat, setanding dengan negara - negara yang maju.Sekiranya emangat patriotik tidak dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan tanah air dan menyebabkan identiti mereka hilang. Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu dan memainkan peranan masing - masing agar semangat patriotik dapat disemai dan dan disuburkan dalam diri setiap kalangan masyarakat di negara kita. 


No comments:

Post a Comment